SINGAPURA: Seorang wanita Singapura dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan lapan bulan selepas didapati bersalah menuntut bayaran balik Cukai Tambah Nilai (VAT) dari United Kingdom (UK) dengan menggunakan barang kemas palsu.
Menurut Utusan Malaysia, Nuradilah Rohop, 27, didapati bersalah atas beberapa kesalahan pada Selasa lalu, termasuk bersubahat dengan seorang lelaki untuk membuat bayaran balik berjumlah 34,914 dolar Singapura (RM116,122).
Menurut kenyataan Polis Singapura (SPF), Nuradilah direkrut oleh seorang individu bernama Alan Yeo sekitar Disember 2020 untuk ke London bagi mengambil barang kemas palsu sebelum membuat tuntutan pulangan cukai di sana.
Setelah menerima bayaran balik tersebut, Nuradilah pulang ke Singapura tanpa mengisytiharkan beliau membawa mata wang melebihi jumlah yang ditetapkan sebelum diserahkan kepada Alan.
Selain itu, Nuradilah turut disabitkan atas satu tuduhan penyalahgunaan dadah, dua pertuduhan akses tanpa kebenaran terhadap bahan komputer serta mendedahkan kod akses tanpa kebenaran di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.
SPF menegaskan, pengubahan wang haram serta tuntutan pulangan cukai secara penipuan daripada pihak berkuasa luar negara merupakan kesalahan serius.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran kerja yang mencurigakan, khususnya yang melibatkan perjalanan ke luar negara bagi tujuan tuntutan cukai jualan,” kata polis dalam kenyataan itu.
Dalam masa sama, SPF turut mengingatkan adalah menjadi keperluan undang-undang untuk mengisytiharkan sebarang pergerakan mata wang yang melebihi S$20,000 (RM70,000) keluar atau masuk ke Singapura.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Rasuah, Pemerdagangan Dadah dan Jenayah Berat lain boleh dikenakan denda sehingga S$500,000 (RM1.75 juta), hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan gagal mengisytiharkan wang tunai di bawah Seksyen 48C(2) akta yang sama, pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$50,000 (RM175,000), hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.






























