PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menegaskan komitmennya terhadap aspek keselamatan dalam semua operasi dan akan terus memberikan makluman dari semasa ke semasa dalam insiden kebakaran saluran paip di di Putra Heights, Subang Jaya.
Menurut Utusan Malaysia, Petronas dalam kenyataan memaklumkan, keutamaan utama Petronas dalam menghadapi insiden tragik itu adalah memastikan keselamatan orang ramai, memenuhi komitmen dalam membantu mereka yang terjejas serta mengekalkan keselamatan bekalan gas sementara siasatan mengenai punca kejadian dijalankan.
Katanya, anak syarikat tersenarai awam, Petronas Gas Berhad (PGB), yang memiliki paip gas terlibat akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kerajaan dan agensi berkaitan untuk menilai kesan penuh insiden ini.
“Pada masa yang sama, kumpulan Petronas sedang mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan keselamatan bekalan gas terjamin.
“Sehubungan itu, pasukan kami sedang giat berusaha untuk mengurangkan gangguan, melaksanakan pelan kontingensi, serta memulihkan operasi dengan selamat dan berkesan bersama pihak berkuasa serta agensi berkaitan
“Dalam masa ini, kami memohon kerjasama dan kesabaran semua pihak yang terlibat sementara kami berusaha secepat mungkin untuk menangani situasi ini,” katanya.
Petronas berkata, pihaknya akan terus berkoordinasi secara aktif dengan kementerian berkaitan serta agensi negeri dan persekutuan bagi memastikan usaha bantuan yang mencukupi disalurkan dan sokongan bermakna diberikan dalam tempoh yang sukar ini seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa lawatannya ke lokasi kejadian.
“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi ini supaya bantuan dapat disalurkan dengan berkesan kepada keluarga yang terkesan dalam masa yang tepat.
“Kami juga boleh mengesahkan bahawa tiga stesen Petronas berhampiran lokasi kejadian iaitu PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari telah kembali beroperasi setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Walaupun stesen-stesen ini tidak terjejas secara langsung, ia sebelum ini ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan protokol keselamatan kami dan hanya dibuka semula selepas penilaian keselamatan yang menyeluruh dilakukan,” ujarnya.
Petronas turut menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada semua individu dan keluarga yang terkesan akibat letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
































