BANGKOK: Di sebalik kepercayaan bahawa haiwan memiliki deria keenam untuk mengesan bencana alam, seekor anjing di Thailand mencuri tumpuan apabila tetap tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika gempa bumi melanda Bangkok, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Echo, anjing baka Samoyed berbulu tebal, bertindak sebaliknya apabila memilih untuk tidur, meskipun tuannya panik cuba menyelamatkan diri.
Gelagat lucu itu berjaya dirakam dalam sebuah video yang kini tular di TikTok dan kini mengumpul lebih lima juta tontonan.
Dalam rakaman tersebut, pemilik Echo kelihatan bersungguh-sungguh cuba mengejutkannya dengan menarik kaki hadapan, namun anjing seberat 32 kilogram itu tetap terbaring selamba di atas lantai.
Meskipun seorang lagi individu datang membantu dengan menolak badan Echo ke arah pintu keluar, anjing itu tetap enggan bergerak.
Akhirnya, pemiliknya terpaksa menggunakan cara lebih kreatif memikat Echo dengan makanan ringan.
Hanya selepas ‘disogok’ dengan snek kegemaran, barulah Echo bangun dan berjalan keluar dengan tenang.
Video berkenaan bukan sahaja menghiburkan rakyat Thailand yang masih bergelut dengan kesan gempa bumi, malah menarik pelbagai reaksi netizen.
Terdapat netizen berseloroh bahawa anjing mereka juga berkemungkinan bertindak sama, malah lebih sukar kerana berat mencecah 56 kilogram.
Walaupun kejadian gempa bumi itu merupakan insiden serius, gelagat Echo yang tidak peduli terhadap kekecohan di sekeliling berjaya mencuri perhatian ramai.
































