Dr. Joachim (tengah) bergambar kenangan dengan semua yang hadir selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Di-Pertua Negeri Sabah tahun 2025 di bangunan Wisma Innoprise, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2025 telah diadakan hari ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri Negeri Sabah.
Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, memaklumkan bahawa sambutan tahun ini amat signifikan kerana merupakan yang pertama sejak pelantikan Tun Haji Musa Aman sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 pada 1 Januari 2025.
“Selaras dengan Warta Kerajaan Negeri Sabah, tarikh rasmi ulang tahun kelahiran TYT adalah pada 30 Mac 2025. Namun, pelbagai acara sambutan akan berlangsung sehingga 21 Jun 2025, dengan tujuh acara rasmi yang akan diadakan di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Antara acara utama yang bakal dianjurkan termasuk Majlis Bacaan Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat, Istiadat Perbarisan, Majlis Jamuan Negeri, Hari Etnik Sabah, serta Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Sabah.
Dr. Joachim turut menekankan bahawa beberapa acara kemuncak akan diadakan pada 21 Jun 2025, termasuk Istiadat Perbarisan dan Majlis Jamuan Negeri.
“Penganjuran acara ini melibatkan kerjasama erat antara pelbagai kementerian dan agensi negeri serta persekutuan bagi memastikan kelancaran dan kejayaan sambutan,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan acara bagi memastikan sambutan ulang tahun kelahiran rasmi TYT tahun ini berlangsung dengan penuh adat istiadat serta kemeriahan.
























