Dr. Rafiq (berdiri, dua dari kiri) berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar UCSF di kampus UCSF, Sembulan.
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) telah menganjurkan Program Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk di kampusnya di Sembulan, baru-baru ini.
Program ini turut disertai oleh Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris bersama kakitangan serta pelajar UCSF.
Aktiviti memasak bermula pada waktu pagi dan mengambil masa beberapa jam sebelum bubur lambuk dibungkus serta diagihkan ke kawasan sekitar kampus di Sembulan. Edaran bubur lambuk turut meliputi pelajar dan kakitangan UCSF, kolej dan sekolah berhampiran, serta individu di beberapa lokasi strategik di Sembulan.
Selain pengagihan bubur, program ini turut dimeriahkan dengan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama warga UCSF.
Menurut Dr. Rafiq, program tahunan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar, kakitangan, dan masyarakat sekitar.
“Program seperti ini dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan pelajar dan kakitangan UCSF serta warga sekitar Sembulan,” katanya.
Turut hadir pada majlis berbuka puasa tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah UCSF, Douglas Joinol.


































