Noorazmahirah bergambar kenangan bersama 100 pelajar SK Termenung, Tuaran, di hadapan Jakel Silk House, Alamesra, kelmarin.
KOTA KINABALU: Seramai 100 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Termenung, Tuaran, diraikan dalam program anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman bagi membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di sini, semalam.
Pelajar yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), anak yatim, asnaf dan keluarga berpendapatan rendah ini dibawa ke Jakel Silk House, Alamesra, untuk memilih pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sulaman, Noorazmahirah Noorzain berkata, program ini, yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya, bertujuan meringankan beban keluarga serta menceriakan sambutan Aidilfitri para pelajar terlibat.
“Ini adalah sumbangan kecil daripada kami, yang diharapkan dapat menceriakan suasana Hari Raya mereka. Kami juga berharap lebih banyak pihak akan menganjurkan program seperti ini supaya lebih ramai yang dapat menikmati bantuan sempena Syawal,” katanya.
Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Jawatankuasa Beliawanis Gagasan Rakyat Sulaman, Cikgu Jumar Kamsari serta guru-guru pengiring dari SK Termenung, Tuaran.
































