Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan masalah rakyat secara tuntas dan bukan sekadar berpolitik tanpa tindakan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, masalah seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di Sabah bukanlah isu baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama, termasuk ketika Datuk Seri Bung Moktar Radin sendiri berada dalam Kerajaan sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dari 2020 hingga 2023.
“Ketika beliau mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah ini, apakah tindakan yang telah diambil? Adakah isu-isu ini hanya timbul selepas GRS mengambil alih kerajaan?” soal Nizam dalam kenyataan hari ini.
Menyangkal dakwaan Bung Moktar bahawa Kerajaan GRS gagal menangani isu asas rakyat, Nizam yang juga ADUN Apas menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah mengambil langkah konkrit untuk menangani cabaran infrastruktur di Sabah.
“Dalam isu bekalan elektrik, Kerajaan Negeri telah membangunkan projek hidroelektrik Ulu Padas di Tenom bagi meningkatkan kapasiti tenaga secara mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada loji janakuasa diesel.
“Bagi masalah bekalan air, Kerajaan sedang giat melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Telibong II Fasa 2 di Tuaran serta menambah baik sistem paip dan tangki simpanan di beberapa daerah utama bagi memastikan rakyat Sabah mendapat bekalan air yang lebih stabil.
“Dalam sektor infrastruktur, Kerajaan GRS juga sedang mempercepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan menghubungkan daerah-daerah utama di Sabah dengan lebih lancar. Beberapa projek naik taraf jalan luar bandar turut giat dilaksanakan bagi memastikan akses lebih baik kepada penduduk pedalaman,” katanya.
Nizam menegaskan bahawa Kerajaan GRS tidak hanya berjanji tetapi telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Sabah memerlukan kepimpinan yang berani bertindak dan mencari penyelesaian, bukan sekadar retorik politik menjelang pilihan raya,” katanya.
































