Starship, roket terbesar yang dibina dengan ketinggian 123 meter, memainkan peranan penting dalam impian Elon Musk untuk menjajah Marikh.
FLORIDA: Roket Starship milik SpaceX akan melancarkan misi ke Marikh menjelang akhir tahun depan, ketika syarikat itu masih menyiasat beberapa letupan dalam ujian penerbangan, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengasas SpaceX, Elon Musk dalam kenyataan di X, menjangkakan pendaratan manusia boleh bermula seawal 2029 jika misi awal berjalan lancar, walaupun menyasarkan tempoh tepat pada tahun 2031.
Starship – roket terbesar yang pernah dibina dengan ketinggian 123 meter – memainkan peranan penting dalam impian Musk untuk menjajah Marikh.
Namun, roket itu mengalami beberapa kegagalan dalam ujian, termasuk meletup beberapa minit selepas dilancarkan dari Texas minggu lalu, kegagalan kedua tahun ini selepas kejadian serupa pada Januari.
Jutawan teknologi itu mempunyai visi besar bahawa sistem roketnya akan membawa manusia ke Bulan dan kemudian ke Marikh, menjadikan manusia ‘berbilang planet’.
Musk sudah lama menyasarkan perjalanan ke Marikh. Pada 2016, beliau merancang untuk menghantar kapal angkasa Dragon seawal 2018.
Tahun lalu, beliau mengumumkan rancangan untuk melancarkan Starship pertama ke Marikh pada 2026, dengan penerbangan berawak dijadualkan dalam tempoh empat tahun selepas itu.
Musk berkata, misi ke Marikh yang akan datang dijangka membawa robot humanoid Tesla, Optimus, yang diperkenalkan kepada umum tahun lalu.
Katanya, robot itu mampu melakukan tugas harian dan dijual pada harga antara AS$20,000 (RM88,886) hingga AS$30,000 (RM133,330).

































