Hajiji bersama para pemimpin negeri, anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan pasukan keselamatan dan pekerja kesihatan, terutama pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam di Sabah selama ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari untuk melindungi rakyat dan negeri.
Bercakap pada majlis penyampaian kuih muih Hari Raya Aidil Fitri kepada barisan
hadapan di Menara Kinabalu di sini hari ini, Hajiji berkata, sejak tahun lalu Sabah telah terjejas oleh beberapa bencana alam.

Hajiji menyampaikan bakul kuih muih Hari Raya kepada Panglima ESSCOM Datuk Victor Sanjos.
Beliau berkata, awal tahun ini sahaja Sabah telah dilanda banjir terutamanya di Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.
“Malah, maklumat terkini dari Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa fenomena hujan berterusan akan bermula dari 18 Mac hingga 21 Mac di Sabah, Sarawak dan selatan Semenanjung.
“Selain banjir, terdapat juga bencana kebakaran tahun ini di Likas yang mengakibatkan 80 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Hajiji menerima sumbangan kuih muih Hari Raya daripada Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) yang disampaikan oleh Presidennya, Datin Seri Juliah Salag, untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan.
“Semasa bencana ini, petugas barisan hadapan kita, terutamanya badan beruniform, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan telah melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamatkan nyawa. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.
Hajiji berkata, penyampaian kuih muih Hari Raya itu sangat bermakna kerana ia menandakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan.
“Ia menjadi lebih bermakna kerana majlis ini diadakan semasa bulan Ramadan. Anggaplah sumbangan ini sebagai suatu simbol dari rakyat Sabah bagi menghargai jasa anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas semasa perayaan dan menjadi motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan dengan dedikasi,” tambahnya.

Hajiji melihat kuih muih Hari Raya yang disumbangkan oleh pelbagai kementerian, jabatan, dan GLC untuk pasukan keselamatan serta petugas kesihatan di Menara Kinabalu.
Hajiji kemudiannya telah menerima barang raya yang disumbangkan oleh 33 kementerian, jabatan dan GLC sebelum menyerahkannya kepada 15 pasukan keselamatan dan pekerja kesihatan.




























