Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah infrastruktur yang membelenggu rakyat.
Menurutnya, isu seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya merupakan masalah warisan yang telah lama dihadapi oleh rakyat Sabah, dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah mengabaikan perkara ini.
“Ketua Menteri kita sentiasa memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu infrastruktur yang telah lama berlarutan, walaupun kerajaan telah bertukar ganti berkali-kali sebelum ini. Kerajaan GRS tidak pernah pejam mata terhadap aduan dan keluhan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Kerajaan Negeri gagal menangani isu rakyat, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, tuduhan sedemikian tidak berasas dan hanya bertujuan mencari publisiti murahan.
“Apa asas mereka mengatakan Kerajaan GRS gagal? Masalah infrastruktur ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata. Sebaliknya, Kerajaan GRS sentiasa bekerja keras untuk mencari penyelesaian yang terbaik bagi rakyat Sabah,” ujarnya.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini memdakwa Kerajaan GRS sebagai gagal menangani masalah rakyat.
Fairuz mengingatkan Bung Moktar agar tidak mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan menghasut rakyat dan menimbulkan sentimen negatif yang tidak berasas.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita fokus kepada perkara yang lebih baik dan mengutamakan kebajikan rakyat daripada menuding jari dan menabur fitnah.
“Jika benar mahu membantu rakyat, ayuh kita berganding bahu dan bekerja bersama-sama untuk kepentingan mereka,” katanya.
































