Mohammad Bahrin bergambar kenangan bersama pelajar tahfiz serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Likas.
KOTA KINABALU: Seramai 25 pelajar Tahfiz al-Quran As-Syatibiyah, Masjid SDA Bandar, diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, kelmarin.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abdul Karim berkata, program tahunan itu diadakan bagi menceriakan para pelajar, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat, sejajar dengan tuntutan bulan yang penuh keberkatan ini.
“Selain itu, kami turut menyampaikan sedikit sumbangan duit raya dengan harapan dapat menceriakan mereka serta meringankan beban dalam membuat persiapan menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar hubungan dengan golongan sasar terus dieratkan. Apatah lagi, mereka ini merupakan pelapis kepimpinan masa depan dan bakal menyumbang bakti kepada masyarakat selepas tamat pengajian kelak,” katanya.
Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Muammar Julkarnain; Naib Ketua Bahagian, Dr. Awang Faisyal Asyiffa Ag Rahim; Ketua Wanita, Halizah Din; Ketua Pemuda, Syahmee Mohd. Ron; Ketua Beliawanis, Noor Azee Ashikeen Asngari, serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Likas.


































