Dexter Lau
KOTA KINABALU: Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Sabah dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada Mei tahun ini.
Beliau mengumumkan pencalonannya pada Majlis Jelajah Iftar 2025, anjuran KTC dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, yang berlangsung di sini, hari ini.
Dengan pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan kepimpinan, Lau bertekad membawa MCCC Sabah ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan ekonomi serta memperluaskan peluang perniagaan bagi ahli-ahli MCCC di negeri ini.
Selain mengumumkan pencalonannya, beliau juga memaklumkan bahawa satu pasukan kepimpinan telah dikenal pasti untuk bersama-sama merealisasikan visi pembangunan MCCC Sabah yang lebih progresif.
Beliau yakin bahawa dengan sokongan padu daripada ahli-ahli MCCC, mereka dapat bekerjasama dengan lebih efektif dalam memajukan sektor perniagaan di Sabah.
Pemilihan Presiden MCCC Sabah yang bakal berlangsung pada Mei 2025 dijangka menjadi platform penting dalam menentukan hala tuju organisasi tersebut untuk tahun-tahun mendatang.
Sebagai Timbalan Pengerusi MCCC Cawangan Sabah dan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan MCCC Malaysia, Lau memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.
Beliau aktif merangsang pertumbuhan ekonomi dua hala serta berusaha mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bagi usahawan tempatan.
MCCC, sebagai sebuah dewan perniagaan terkemuka, terdiri daripada pemimpin industri dan tokoh berpengaruh yang komited dalam memperkasakan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.


































