Dzulirwan Rashkin
KOTA BELUD Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tempasuk menghormati hak mana-mana individu yang ingin menawarkan diri sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Namun, menurut Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Tempasuk, Dzulirwan Rashkin, Tempasuk bukan gelanggang untuk eksperimen politik, sebaliknya merupakan sebuah kawasan yang memerlukan kesinambungan kepimpinan berwibawa demi kesejahteraan rakyat.
“Tempasuk bukan gelanggang eksperimen politik, tetapi sebuah kawasan yang memerlukan kesinambungan kepimpinan berwibawa demi kesejahteraan rakyat.
“Berbanding sekadar ‘merisik’ peluang politik, Gagasan Rakyat di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk terus bekerja demi kepentingan rakyat.
“Keutamaan kami adalah memastikan kemajuan yang telah dicapai tidak terganggu oleh eksperimen politik yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai pengumuman Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor baru-baru ini yang menamakan semula Datuk Mohd. Arsad Bistari sebagai calon di DUN Tempasuk, Dzulirwan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan baik beliau sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Pengumuman Datuk Seri Hajiji Noor menamakan semula Datuk Arsad sebagai calon adalah berdasarkan rekod perkhidmatan baik beliau sebagai wakil rakyat Tempasuk.
“Politik bukan sekadar ‘merisik-risik’ peluang, membaca kajian atau menilai sokongan.
“Politik adalah tentang turun padang, memahami denyut nadi rakyat, dan membuktikan komitmen tanpa syarat – sesuatu yang telah dilakukan oleh Datuk Arsad dan GRS selama ini,” tambahnya.






























