Jahid menyaksikan sesi penyerahan Nota Serah Tugas daripada Norlijah (kiri) kepada Myrna.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Jahid Jahim bersama seluruh kakitangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Tetap baharu Kementerian, Hajah Myrna Jimenez @ Isabelo dalam satu majlis diadakan di Dewan Rafflesia, KPLB, di sini, hari ini.
Turut diadakan penyerahan Nota Serah Tugas daripada Setiausaha Tetap terdahulu, Datuk Norlijah Danin yang kini dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Sabah, berkuat kuasa 18 Februari 2025.
Jahid menzahirkan penghargaan atas dedikasi dan komitmen tinggi Norlijah sepanjang hampir tiga tahun menerajui pentadbiran KPLB.
“Hari ini adalah detik penting bagi Kementerian kerana kita menyaksikan kesinambungan kepimpinan dalam usaha memperkasa pembangunan luar bandar di Sabah.
“Saya yakin dengan pengalaman serta kepimpinan Puan Hajah Myrna, kita akan terus melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang,” katanya.
Jahid, yang juga ADUN Tamparuli berharap peralihan kepimpinan ini dapat memperkukuh hala tuju pembangunan luar bandar Sabah, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan dalam sistem pentadbiran daerah serta mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama demi kepentingan rakyat Sabah.
Terdahulu, Myrna menyatakan kesediaannya untuk meneruskan kerjasama erat bersama semua pegawai dan warga kerja KPLB.
“Saya berharap hubungan kerja yang baik ini akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan luar bandar dapat direalisasikan dengan berkesan,” ujarnya.
Sementara itu, Norlijah dalam ucapannya turut berterima kasih atas sokongan semua Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Presiden Majlis Perbandaran Daerah, serta seluruh warga KPLB yang telah bersama-sama menjayakan agenda transformasi luar bandar sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Tahniah kepada Hajah Myrna. Saya yakin dengan pengalaman beliau, kesinambungan perancangan yang telah disusun akan dapat diteruskan dengan baik,” katanya.
Sebagai pengisian majlis, hadirin turut disajikan dengan tayangan video penghormatan kepada Norlijah serta ucapan selamat datang kepada Myrna.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ceramah Ramadan sebelum diakhiri dengan sesi berbuka puasa bersama para tetamu dan kakitangan.






























