Dr. Maria Suleiman
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mempertingkatkan pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan melalui Ops Bazar Ramadan 2025, yang dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman berkata, sebanyak 1,152 premis telah diperiksa di 17 daerah, termasuk Kota Marudu, Sandakan, Semporna, dan Keningau.
Katanya, seramai 2,393 pengendali makanan turut diperiksa, di mana 97.2 peratus telah mendapatkan suntikan tifoid dan 97.3 peratus menghadiri latihan pengendali makanan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa telah mengeluarkan 34 notis kompaun bernilai RM5,200 atas pelbagai kesalahan, termasuk kegagalan mendapatkan sijil latihan pengendali makanan (32.4 peratus), tiada suntikan tifoid (14.7 peratus) dan pelanggaran peraturan kebersihan pakaian (47.1 peratus).
Bagi memastikan tahap kebersihan di bazar Ramadan terus dipantau, katanya, 682 pegawai penguat kuasa telah dikerahkan untuk melakukan pemeriksaan di 91 lokasi bazar di seluruh Sabah.
“Pemantauan ini meliputi pemeriksaan sebelum dan semasa Ramadan ke atas premis pembekal bahan mentah, penyediaan makanan, pembekal ais, serta gerai jualan di bazar,” katanya dalam satu kenyataan sempena Program ‘Walkabout’ Pemantauan Bazar Ramadan 2025 di sini hari ini.
Program ‘Walkabout’ Pemantauan Bazar Ramadan 2025 dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif bagi memastikan makanan yang dijual mematuhi peraturan kesihatan. Program ini selari dengan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Pada 3 Mac, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah merasmikan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2025 dalam sesi ‘walkabout’ di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya.
Dalam kempen ini, dua inisiatif utama diperkenalkan, iaitu “Perhati dan Pilih” serta “Budaya 3M”, bagi meningkatkan kesedaran pengguna dalam memilih makanan yang bersih dan selamat. “Perhati dan Pilih” menggalakkan pengguna menilai tahap kebersihan premis dan peniaga sebelum membeli makanan. “Budaya 3M” pula menekankan amalan kebersihan dalam penyediaan makanan menerusi konsep M-A-S-A-K (Masak dengan sempurna, Asingkan peralatan, Simpan dengan betul, Air dan bahan mentah bersih, Kebersihan diri).
Untuk memudahkan aduan berhubung kebersihan makanan, JKN Sabah telah memperkenalkan aplikasi WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan di talian 012-8484378, membolehkan orang ramai melaporkan sebarang isu keselamatan makanan secara langsung.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang fsq.moh.gov.my.






























