BEAUFORT: Jelajah Iftar 2025 anjuran Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif, Datuk Dexter Lau, bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, hari ini meneruskan perjalanan ke destinasi kelapan, Beaufort.
Sebagai sebahagian daripada program ini, acara Shopping Raya telah diadakan di pasar raya Servay Jaya Beaufort petang tadi, bagi meraikan 100 orang kanak-kanak dari kawasan Kimanis dan Sipitang.
Program ini bertujuan menyemarakkan kegembiraan menjelang Hari Raya Aidilfitri, khususnya bagi mereka yang memerlukan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Ketika ditemui pemberita, Matbali menyatakan bahawa program sebegini amat bermakna dalam menyantuni kanak-kanak, lebih-lebih lagi dalam suasana sambutan Aidilfitri.
“Walaupun kawasan ini masih terjejas akibat banjir, kanak-kanak dan penduduk di sini kelihatan gembira serta bersemangat kerana mendapat baju raya baharu. Saya berterima kasih kepada KTC, Datuk Dexter Lau, dan Awang Kadin atas sumbangan ini. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Lau meluahkan rasa gembira kerana dapat bersama masyarakat Beaufort dalam program Shopping Raya ini.
“Walaupun hujan turun, saya sedikit bimbang memikirkan keadaan penduduk yang baru sahaja dilanda banjir minggu lalu. Saya berharap pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mereka yang terjejas.
“Di sini, saya berpeluang bertemu ramai orang dan berbual dengan masyarakat dari pelbagai lapisan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kepimpinan Beaufort yang telah bertungkus lumus membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir,” ujar beliau.
“Sebagai pihak swasta, peranan kami mungkin kecil, tetapi kami berusaha memberikan sumbangan secara berkala untuk meringankan beban mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Lau turut berharap agar sumbangan yang diberikan dapat menyuntik semangat kepada masyarakat dan pemimpin tempatan bahawa mereka tidak keseorangan.
“Saya merasakan semangat yang tinggi di sini, terutama dalam menyambut Hari Raya. Seperti yang disebut oleh Datuk Matbali, kami tidak akan melupakan mereka yang memerlukan. Saya akan terus membantu sejauh mana yang mampu,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa KTC sentiasa bersedia untuk memberi bantuan serta terus menyokong masyarakat Sabah, tidak kira Kerajaan mana yang dipilih pada masa hadapan.
Kanak-kanak yang terpilih dalam program ini menerima tajaan membeli-belah bernilai RM200 setiap seorang untuk mendapatkan pakaian dan kelengkapan baharu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih ceria.

































