Kejadian kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, Beaufort, pagi tadi. – Ihsan Bomba
BEAUFORT: Dua bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, Beaufort, hangus dalam kebakaran pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima menerusi MERS999 pada jam 8.50 pagi.
Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, BBP Kimanis, dan BBP Kuala Penyu segera digerakkan ke lokasi kejadian yang berjarak 17 kilometer dari balai terdekat. Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 9.11 pagi, dan operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 9.28 pagi.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Abdul Khalid.
Kebakaran dilaporkan melibatkan dua buah bangunan lama sekolah yang dijadikan sebagai stor penyimpanan peralatan sekolah. Kedua-dua bangunan tersebut, yang merupakan struktur tidak kekal, terbakar 100 peratus.
Seramai 19 anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi bersama empat jentera, termasuk dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dan satu Water Tanker. Pegawai Kanan Zon Beaufort, PgB Anddre Andrew turut berada di lokasi bagi memantau operasi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat.


































