Tun Musa (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Huang.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan perpisahan daripada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Dr Huang Shi Fang, hari ini.
Huang menyatakan keyakinan dan harapannya agar hubungan persahabatan antara China serta Sabah terus diperkukuhkan pada masa hadapan dengan sokongan berterusan daripada pemimpin kedua-dua pihak.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan di Sabah yang telah memberi sokongan berharga kepada saya sepanjang tiga tahun ini.
“Keindahan landskap, kehangatan penduduk dan kepelbagaian budaya di Sabah telah meninggalkan kenangan yang mendalam bagi saya.
“Sabah adalah negeri yang sangat inklusif, rakyatnya hidup bersama dengan harmoni tanpa mengira latar belakang etnik atau agama dan ini adalah sesuatu yang sangat istimewa,” ujarnya ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu.
Tambah beliau, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan tempoh perkhidmatan Huang sebagai Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang bermula pada 30 Mei 2022 akan berakhir hujung bulan ini.


































