Shahelmey (lima dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Tun Musa.
KOTA KINABALU: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 dijadual berlangsung pada 5 April ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, sambutan berkenaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.
“Kita menyasarkan seramai 20,000 pengunjung hadir ke sambutan pada tahun ini.
“Selain jamuan makan, turut diadakan adalah penyampaian sumbangan kepada golongan yang kurang upaya serta persembahan pentas.
“Bersempena dengan itu, orang ramai dijemput untuk hadir dan memeriahkan sambutan ini nanti,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Selasa.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya memaklumkan tujuan kunjungan adalah bagi menjemput Tun Musa untuk hadir ke majlis tersebut.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS), Datuk Ridhwan Roger Linus dan Timbalan Setiausaha Tetap II KKRS, Jasni Abu Suffyan Omar.


































