Keadaan kenderaan terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter di Batu 38, Jalan Kalabakan-Tawau pagi ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut diterima pada jam 9.10 pagi, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan yang diketuai oleh PBKII KUP Shameer Abd Rahman Hamid tiba di lokasi pada jam 12 tengah hari setelah menempuh jarak sejauh 165 kilometer.
Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter.
Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan jungkin stretcher sebelum menyerahkan mayat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi turut melibatkan lima anggota bomba, dengan bantuan tiga anggota PDRM dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi berjaya dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

































