Azizah menyerahkan bantuan bekalan makanan kepada wakil petugas barisan hadapan.
KOTA KINABALU: Daerah Beaufort merupakan antara kawasan paling teruk terjejas akibat limpahan mendadak Sungai Padas sejak Jumaat lalu susulan hujan berterusan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah telah melaksanakan misi bantuan kemanusiaan hari ini bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.
Misi Pasukan D-Hub IDS ini diketuai oleh Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun bersama Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul yang turun padang untuk meninjau keadaan serta menyantuni mangsa di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun Banir dan Dewan Kebudayaan Bisaya Beaufort, yang menempatkan kira-kira 625 mangsa.
Sebagai sebahagian daripada misi ini, IDS menyerahkan bantuan makanan sedia dimakan (RTE) atau Hero-Meals kepada mangsa banjir. Bantuan ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas tetapi juga mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan IDS terhadap kesejahteraan masyarakat yang terjejas.
Dengan pengalaman beliau sebagai mantan Ahli Parlimen P.177 Beaufort, Azizah terus berusaha memastikan kebajikan penduduk setempat terpelihara. IDS berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana ini.
Dalam satu perkongsian video di media sosial pada 10 Mac 2025, Dr. Ramzah menjelaskan bahawa berdasarkan ramalan model cuaca global yang turut digunakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), musim tengkujuh dijangka berakhir pada penghujung Mac atau awal April.
Sabah masih mengalami episod hujan lebat akibat Monsun Timur Laut (MTL), yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Gelombang keempat tengkujuh kali ini berpunca daripada monsun, dan bukan fenomena La Niña.
Walaupun La Niña dijangka bermula pada hujung 2025 hingga pertengahan 2026, kesannya masih belum mempengaruhi cuaca semasa di Sabah.
Menyedari kepentingan kesiapsiagaan menghadapi bencana, IDS telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh tindak balas kecemasan.
Sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang ini, IDS melalui inisiatif D-Hub bekerjasama dengan 20 NGO dari seluruh Sabah, termasuk Kembara Kitchen, CIMB Foundation, dan Perwira.
Pasukan CSR IDS sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan memantau situasi bencana secara sistematik serta menyalurkan bantuan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan komuniti terjejas menerima sokongan sewajarnya.
Usaha ini bukan sahaja membantu dalam penyelarasan bantuan kecemasan tetapi juga memperkukuh daya tahan masyarakat terhadap bencana alam pada masa hadapan.
Antara mangsa banjir yang menerima bantuan di PPS termasuk Nurashilah Athirah Samrah, Ag. Aziz Ag. Hassan, Mariam Karim, Salliah Awang, Zakaria @ Shawal Botui, Harmayani Haeri Wong, dan Siila Ad Samat, yang terjejas akibat bencana ini.
IDS komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjamin kesejahteraan mangsa bencana dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.