Kasim Muda
KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pembelian kad Automated Teller Machine (ATM) yang aktif di sekitar daerah ini dengan menahan dua individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, tangkapan dilakukan pada 6 Mac 2025 sekitar jam 7.30 malam.
Kedua-dua suspek dipercayai membeli kad ATM daripada pemilik asal dengan menawarkan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap kad.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas 10 keping kad ATM daripada pelbagai institusi kewangan yang dipercayai milik individu lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Tiga Serbuan, 21 Individu Ditahan
Kasim berkata, dalam tempoh lima bulan terakhir, pihak polis telah menjalankan tiga serbuan di sekitar Kota Kinabalu, yang membawa kepada penahanan 21 individu serta rampasan sebanyak 125 keping kad ATM daripada pelbagai institusi kewangan. Kesemua kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menjual, menyewa, atau menyerahkan kad ATM peribadi kepada mana-mana individu atau pihak tertentu, kerana ia boleh digunakan untuk kegiatan jenayah tanpa pengetahuan pemilik asal.
“Pihak polis juga ingin mengingatkan bahawa jika kad ATM digunakan bagi tujuan penipuan, pemilik kad boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000, atau penjara antara satu hingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali,” tambah Kasim.
Polis menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan pembelian atau penjualan kad ATM bagi mengelakkan diri daripada terlibat dalam kesalahan jenayah.
































