Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei ini, selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu tidak mendapat bantahan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan pengamal perubatan am (GP) swasta yang meminta kelonggaran dalam pelaksanaannya.
Beliau berkata, kerajaan telah menyatakan kesediaan untuk menanggung kos berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan paparan harga ubat itu.
“Pihak berwajib termasuk Majlis Farmasi Malaysia (MFI) telah memberi jaminan perubahan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, KKM akan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan memastikan harga ubat tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia, Zulhemi Abdullah.
Pada masa sama, Dzulkefly berkata, GP swasta turut menggesa kajian semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah disemak sejak 32 tahun lalu.
Beliau berkata, semakan itu melibatkan Jadual Ketujuh Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 di bawah Akta 586, yang mengawal selia caj perundingan dan caj tatacara bagi pengamal perubatan am di klinik perubatan swasta.
“Bagi memastikan keadilan dalam penetapan caj perkhidmatan kesihatan di sektor swasta, kerajaan komited untuk memperjuangkan semakan semula kadar yuran tersebut.
“Sebagai perbandingan, kerajaan sebelum ini telah menyemak kadar yuran perundingan bagi hospital swasta di bawah Jadual 13 Akta 586, namun semakan terhadap Jadual Ketujuh masih belum dilakukan,” katanya.
Selain itu, KKM juga sedang menyemak semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah dikemas kini sejak 32 tahun lalu.
Semakan terakhir pada tahun 2006 dijangka memberi kesan kepada kira-kira 10,300 klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta 586 setakat September 2023.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 (Akta 180) yang dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang 2026.
Beliau berkata, langkah itu dijangka dapat memperkukuhkan kedudukan dan peranan bagi lebih 20,000 pembantu perubatan (PPP) dalam sektor kesihatan awam dan lebih 25,000 pengamal dalam seluruh sektor kesihatan.
Katanya, RUU tersebut bagi memastikan dasar dan kawal selia profesion PPP kekal relevan dan progresif.
“Kerangka dasar dan kerangka asas RUU telah dirangka. Seawal-awalnya tahun 2026, namun tertakluk kepada Jabatan Peguam Negara dan giliran di Parlimen.
“Kebenaran sedang diperoleh untuk memulakan proses penggubalan tahun ini. Nama kod RUU ialah Rang Undang-undang Pengamal Paramedik,” katanya.

































