N.V Subbarow menunjukkan contoh gula-gula berbentuk peranti vape, rokok dan jarum suntikan yang kini membanjiri pasaran tempatan
GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran mengenai kemunculan gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok yang kini membanjiri pasaran tempatan.
Perkara itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap normalisasi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak seawal usia tiga tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, trend itu semakin membimbangkan kerana produk berkenaan menyerupai alat vape dan rokok sebenar serta berupaya menarik perhatian kanak-kanak melalui rekaan pelbagai warna.
“Apabila kanak-kanak melihat produk ini di kedai, mereka akan meminta ibu bapa untuk membeli tanpa menyedari bahaya di sebaliknya.
“Sekali mereka tertarik, mereka akan terus meminta untuk mendapatkan gula-gula ini berulang kali,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Subbarow, corak dan reka bentuk gula-gula itu juga boleh mendorong kanak-kanak untuk meniru tabiat merokok apabila mereka meningkat usia.
Katanya, lebih membimbangkan, ada gula-gula yang direka dalam bentuk jarum suntikan, menyerupai picagari yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.
“Gula-gula ini bukan sekadar manisan biasa, tetapi boleh menjadi permulaan kepada ketagihan vape dan rokok. Ibu bapa mungkin tidak menyedari risiko ini dan membelinya untuk menenangkan anak-anak mereka,” katanya.
Tambah Subarrow, fenomena itu bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membentuk tabiat merokok dalam kalangan generasi muda.
“CAP bimbang trend ini akan menyebabkan kanak-kanak secara tidak langsung belajar cara mengendalikan peranti menyerupai rokok elektronik tanpa menyedari implikasinya.
“Produk ini mula memasuki pasaran tempatan kurang enam bulan lalu dan semakin popular dalam kalangan kanak-kanak dan kita tidak boleh membiarkan ini menjadi kebiasaan,” katanya yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengharamkan penjualan produk berkenaan.


































