PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan menghadiri sesi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Menurut Utusan Malaysia, kehadiran Ahli Parlimen Bera itu ditangguhkan sehingga 13 Mac berikutan beliau masih dalam tempoh cuti sakit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima makluman mengenai penangguhan tersebut.
“Datuk Seri Ismail Sabri memohon untuk menangguhkan kehadirannya kerana masih dalam tempoh cuti sakit.
“Oleh itu, tarikh baharu telah ditetapkan pada 13 Mac,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, kelmarin.
Terdahulu, media melaporkan Ismail Sabri dijangka hadir ke SPRM esok bagi memberi keterangan lanjut berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, di mana beliau kini merupakan suspek dalam kes berkenaan.
Siasatan SPRM sebelum ini turut membawa kepada penemuan wang tunai bernilai RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kondominium yang didakwa sebagai ‘safehouse’.
Setakat ini, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber sebenar kekayaan yang dirampas serta kaitannya dengan individu yang terlibat.


































