Keadaan kebakaran melibatkan empat kenderaan di Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Satu kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan berlaku di Bulatan Masjid Bandaraya, Likas, tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 12.59 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Wilfred Sulai, tiba di lokasi pada jam 1.02 petang dan mendapati api sedang marak membakar beberapa kenderaan.

Operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera bomba, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera.
Dalam kejadian ini, sebuah Toyota Alphard musnah hampir sepenuhnya dengan tahap kebakaran sebanyak 90%, manakala sebuah Proton Iriz mengalami kebakaran sebanyak 60%. Dua lagi kenderaan, Proton Saga dan Proton Iswara, masing-masing mengalami kebakaran sebanyak 5% dan 7%.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.07 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.50 petang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

Sebanyak 11 anggota bomba dari BBP Lintas telah terlibat dalam operasi ini dengan bantuan sebuah jentera LFRT dan sebuah jentera EMRS.


































