Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pendekatan 2Ps, iaitu pemantauan dan penguatkuasaan ketat terhadap pergerakan kenderaan logistik di Sabah.
Beliau turut meminta perhatian Menteri Pengangkutan untuk memperketat penguatkuasaan had muatan bagi jalan raya Persekutuan di negeri ini.
Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan jalan raya kekal kondusif dan selamat untuk rakyat, selain mengurangkan beban kewangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam penyelenggaraan jalan.
“Banyak jalan raya Persekutuan yang digunakan secara harian oleh kenderaan persendirian semakin hari semakin rosak akibat kekerapan penggunaan kenderaan berat yang kurang dipantau, terutamanya di Sabah.
“Oleh itu, pasukan penguat kuasa JPJ diseru melaksanakan 2Ps, iaitu pemantauan serta penguatkuasaan tegas terhadap pergerakan kenderaan logistik yang menggunakan jalan raya Persekutuan mahupun negeri di setiap daerah di Sabah.
“Penguatkuasaan ini perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan aktiviti pengangkutan industri yang menggunakan jalan raya dapat dikawal mengikut had muatan yang ditetapkan,” katanya.
Shahelmey turut menegaskan bahawa banyak jalan raya yang belum dapat diselenggara akibat kekangan peruntukan kini berdepan risiko lebih besar mengalami kerosakan akibat beban muatan berlebihan.
“Seperti yang YB Menteri Pengangkutan sedia maklum, banyak jalan yang sudah melebihi tempoh jangka hayat reka bentuknya, dan ini meningkatkan risiko kerosakan jika had muatan tidak dipatuhi.
“Justeru, saya meminta perhatian YB Menteri Pengangkutan untuk sentiasa melaksanakan ‘tall order’ kepada JPJ negeri Sabah agar aspek 2Ps benar-benar dipergiatkan,” katanya.
Menurut beliau, keseriusan dalam pelaksanaan 2Ps akan mendisiplinkan syarikat-syarikat logistik supaya tidak melanggar pematuhan had muatan yang diwartakan bagi jalan raya Persekutuan di Sabah.
“Selain menjadikan jalan raya lebih selamat untuk kegunaan harian rakyat, ketegasan JPJ dalam aspek penguatkuasaan juga dapat mengurangkan beban kewangan tambahan kepada JKR untuk menyelenggara jalan yang sering rosak akibat penggunaan kenderaan berat yang berlebihan,” ujarnya.
Dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini, Shahelmey turut mencadangkan agar Kementerian Kerja Raya Persekutuan mempertimbangkan pertambahan wakil Sabah dalam Lembaga Jurutera Malaysia.
Katanya, pada masa ini, hanya seorang wakil dari Sabah yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Kerajaan. “Dengan pertambahan wakil dari kalangan pengamal industri, saya yakin input lebih relevan dapat diberikan demi manfaat sektor kejuruteraan di Sabah,” katanya.
Selain itu, beliau menyambut baik cadangan penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah. Menurutnya, inisiatif ini akan membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk meneroka bidang teknikal yang selari dengan aspirasi kerjaya mereka.
Menekankan bahawa pemerkasaan TVET adalah kunci kepada pembangunan ekonomi negeri, beliau menyeru kerajaan menyediakan lebih banyak platform pembiayaan pendidikan serta laluan kemasukan ke institusi TVET yang diiktiraf.
Katanya, langkah ini sejajar dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri I yang mahu lebih ramai anak muda Sabah terlibat dalam bidang TVET untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor pelaburan asing.
Menyentuh potensi industri kelapa sawit di Sabah yang berkeluasan 1.5 juta hektar, Shahelmey berkata, dengan pembangunan kilang oleokimia berteknologi tinggi seperti yang diaspirasikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, graduan TVET akan memainkan peranan penting dalam industri ini.
Beliau turut mencadangkan pendekatan “reality-based education” bagi memastikan graduan TVET memahami konsep dan teori sebelum memasuki alam pekerjaan.
Dalam pada itu, Shahelmey membangkitkan isu kelewatan projek menaik taraf Stadium Mini Majlis Daerah Putatan yang sepatutnya siap pada Januari tahun ini.
Beliau meminta Kementerian Belia dan Sukan mengambil tindakan tegas terhadap kelewatan ini bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam tahun ini juga.
Terdahulu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap titah Seri Paduka Baginda yang menekankan pembangunan seimbang untuk Sabah.
Beliau berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat merealisasikan aspirasi tersebut serta memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus terjamin.


























