Gambar edaran Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tasmania menunjukkan ikan lumba-lumba terdampar di pantai berhampiran Sungai Arthur di pantai barat Tasmania, semalam.
SYDNEY: Lebih 150 ikan lumba-lumba ditemukan terdampar di pantai terpencil Pulau Tasmania, Australia, dengan puluhan daripadanya dilaporkan mati.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa alam sekitar memberitahu, dianggarkan 157 ekor terdampar dalam tempoh 48 jam, dengan kira-kira 90 ekor masih hidup pada Rabu.
Pegawai hidupan liar negeri, Brendan Clark berkata, usaha menyelamatkan mamalia laut seberat lebih satu tan itu adalah sukar.
Kumpulan itu dipercayai daripada spesies ikan lumba-lumba bersaiz besar yang dikenali sebagai ‘false killer whale’, kerana reka bentuk tengkoraknya menyerupai paus orca.
Mamalia marin itu boleh membesar sehingga enam meter dan bergerak dalam kumpulan besar mencecah lebih 50 ekor.
Tasmania pernah menyaksikan beberapa siri ikan paus terdampar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk insiden paling buruk dalam sejarah Australia pada 2020.
Namun, ikan lumba-lumba ‘false killer’ tidak pernah terdampar dalam jumlah yang besar di kawasan itu sejak lebih 50 tahun.
“Ia adalah fenomena yang jarang berlaku di perairan kami sejak sekian lama,” kata Clark.
Beliau berkata, kejadian terakhir kumpulan ikan lumba-lumba terdampar berlaku pada Jun 1974 berhampiran pantai Black River di barat Tasmania, melibatkan antara 160 hingga 170 ekor.
Jabatan Alam Sekitar Tasmania dalam kenyataan berkata, operasi menyelamat di lokasi tersebut menghadapi cabaran besar berikutan keadaan laut bergelora serta kesukaran untuk membawa masuk peralatan khas ke kawasan terpencil itu.
“Pemeriksaan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengenai punca kejadian ini,” kata pihak berkuasa.
Spesies ikan lumba-lumba itu dikategorikan ‘hampir terancam’ oleh kerajaan Australia kerana kekurangan data mengenai populasi mereka.






























