BANGKOK: Thailand menghantar pulang 10 warga China yang dikaitkan dengan kes penculikan berprofil tinggi melibatkan seorang pelakon yang diselamatkan dari pusat penipuan siber di Myanmar.
Menurut Utusan Malaysia, polis Thailand memaklumkan, sindiket penipuan yang beroperasi di sempadan Myanmar semakin berkembang pesat, dengan kebanyakan pekerjanya merupakan warga asing yang diperdagangkan dan dipaksa bekerja untuk menipu rakan senegara mereka.
Penganalisis menganggarkan industri ini bernilai berbilion dolar.
Menurut kenyataan polis, suspek merupakan sebahagian daripada kumpulan yang beroperasi di Myawaddy, Myanmar dan didakwa terlibat dalam penipuan terhadap pelakon terkenal China, Wang Xing.
“Kumpulan itu telah dihantar pulang ke China semalam,” kata seorang pegawai polis kepada AFP.
Semua suspek berkenaan diterbangkan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok dengan kawalan ketat daripada polis imigresen Thailand.
Polis berkata, kesemua mereka dihantar pulang bagi membolehkan pihak berkuasa China mendakwa mereka di negara asal.
Kebimbangan terhadap sindiket jenayah siber semakin meningkat selepas Xing berjaya diselamatkan dari pusat penipuan telekomunikasi di Myanmar pada Januari lalu.
Pelakon itu mendedahkan, dia telah diperdaya untuk datang ke Thailand dengan janji uji bakat, sebelum diculik dan diseludup melintasi sempadan.
“Selepas Xing diselamatkan, kumpulan penjenayah tersebut melarikan diri dari Myanmar ke Kemboja sebelum akhirnya ditahan di Thailand,” kata Pegawai Kanan Polis, Thatchai Pitaneelaboot yang mengetuai siasatan jenayah pemerdagangan manusia.
Menurutnya, 10 suspek tersebut memainkan pelbagai peranan dalam sindiket itu, termasuk sebagai pengurus, pengawal keselamatan dan operator pusat panggilan yang menipu mangsa.
Polis Thailand berikrar untuk meningkatkan siasatan terhadap aset sindiket penipuan ini serta bekerjasama dengan agensi pembanterasan pengubahan wang haram bagi membanteras jenayah pusat panggilan.
































