JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan tahap amaran di Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores ke paras tertinggi susulan peningkatan mendadak aktiviti seismik di sekitar gunung berapi tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, lebih enam buah kampung turut diarah berpindah sebelum kemungkinan letusan berlaku.
Pada November lalu, gunung berapi berketinggian 1,703 meter itu meletus beberapa kali, mengorbankan sembilan orang, menyebabkan pembatalan berpuluh-puluh penerbangan antarabangsa ke Bali dan memaksa ribuan penduduk berpindah.
Ketua Agensi Geologi Indonesia, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan berkata, amaran dinaikkan ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat bermula pukul 3.00 pagi Rabu (waktu tempatan).
Beliau turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku aliran lahar dan lumpur berbahaya.
“Penduduk di sekitar Gunung Lewotobi Laki-Laki perlu berwaspada terhadap potensi banjir lahar di sungai-sungai yang berpunca dari puncak gunung ini sekiranya hujan lebat berlaku,” tambahnya.
Pada sidang media, Muhammad mengumumkan zon larangan diperluaskan daripada lima kepada enam kilometer dari kawah gunung tersebut.
“Ini melibatkan enam kampung yang mesti dipindahkan,” katanya tanpa menyatakan jumlah penduduk yang terjejas.