JIANGSU: Sebuah keluarga di timur China menuntut keadilan selepas kanak-kanak berusia dua tahun kehilangan dua jari akibat tersepit di eskalator pusat beli-belah, awal Februari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Beijing Evening News melaporkan, kejadian berlaku pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) 2 Februari lalu, di Xingmei City Plaza, daerah Suining, wilayah Jiangsu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan pusat beli-belah berkenaan menunjukkan kanak-kanak bersama seorang wanita di bahagian bawah eskalator yang sedang bergerak ke bawah.
Ketika mendekati eskalator, kanak-kanak itu terjatuh ke atas tangga bergerak tersebut.
Wanita itu segera mengangkatnya dalam keadaan panik, namun terkejut apabila mendapati tangan kanan kanak-kanak itu berlumuran darah.
Seorang lagi wanita berbaju putih yang menyedari kejadian itu segera mencari butang henti kecemasan di tepi eskalator sebelum menekannya.
Kanak-kanak tersebut segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, menurut media tempatan.
Pihak pengurusan pusat beli-belah memaklumkan juruteknik eskalator tiba di lokasi pada pukul 5.40 petang dan membuka bahagian mesin bagi mencari jari terputus, yang berjaya ditemukan dalam tempoh 25 minit sebelum dihantar ke hospital .
Bagaimanapun, keluarga mangsa mendakwa di media sosial Weibo, eskalator tersebut mengalami kerosakan secara tiba-tiba, menyebabkan kemalangan itu berlaku serta menuduh pihak pusat beli-belah cuai dalam penyelenggaraan.
Pusat beli belah kemudian menafikan tuduhan kemalangan itu berpunca daripada kegagalan fungsi eskalator, malah ia turut menawarkan pampasan sebanyak 20,000 yuan (RM13,000) atas dasar ihsan kepada keluarga mangsa.
Namun, tawaran itu ditolak kerana keluarga berkenaan dilaporkan menuntut pampasan sebanyak 60,000 yuan (RM39,000).
Menurut laporan media China Yangguang Bao, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.