Gambar Hiasan
SINGAPURA: Seorang wanita Iran dan suaminya yang merupakan warganegara Malaysia diusir dan dilarang memasuki semula Singapura selepas didapati terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua mereka terlibat dalam pengendalian sebuah agensi pelancongan yang menaja visa permohonan warga asing, didakwa mempunyai kaitan dengan keganasan.
Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Parvane Heidaridehkordi, 38, dibatalkan pas lawatan jangka panjang, manakala suaminya Soo Thean Ling, 65, kehilangan status penduduk tetap.
“Siasatan mendapati agensi pelancongan tersebut berfungsi sebagai penyamaran bagi operasi yang dikendalikan oleh warga asing di luar negara.
“Agensi pelancongan itu kini telah dibatalkan pendaftarannya. Tindakannya menjejaskan keselamatan negara,” katanya.
Selepas pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap agensi pelancongan itu, Soo cuba mendaftarkan sebuah syarikat bagi menjalankan perniagaan di Singapura sebanyak dua kali.
“Soo berhasrat membolehkan Parvane mengendalikan perniagaan tersebut yang berkemungkinan akan memudahkan penglibatannya dalam membantu kemasukan individu berkaitan keganasan ke negara itu.
“Kedua-dua permohonan pendaftaran syarikat yang dikemukakan oleh Soo telah ditolak atas faktor keselamatan negara,” jelas MHA.
MHA memaklumkan, Parvane diisytiharkan sebagai ‘pendatang tidak diingini’ kerana terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara, manakala Soo diisytiharkan sebagai Pendatang Terlarang atas dasar anggota keluarga Parvane.


























