Gambar Hiasan
SEOUL: Kerajaan Metropolitan Seoul mengumumkan tawaran tunai atau mata ganjaran sebanyak satu juta won (RM3,500) kepada pasangan yang mendaftar perkahwinan mereka di bandar itu bermula Oktober.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa memaklumkan, inisiatif itu bertujuan membantu pasangan baharu dengan subsidi untuk membeli peralatan rumah dan perabot ketika mereka berpindah ke kediaman bersama.
Ketika ini, kerajaan bandar sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan untuk melaksanakan rancangan tersebut bermula Oktober.
Untuk melayakkan diri menerima subsidi itu, jumlah pendapatan pasangan tidak boleh melebihi 150 peratus daripada pendapatan purata iaitu sekitar 5.8 juta won (RM20,400) atau kurang bagi isi rumah dua orang.
Pendaftaran perkahwinan juga mesti dilakukan di Seoul pada tahun ini dan had umur bagi kelayakan juga akan diumumkan kemudian.
Dianggarkan 20,000 pasangan dijangka mendapat manfaat daripada program bantuan tunai baharu itu.
Selain itu, pihak berkuasa bandar merancang memperluaskan skop bantuan tersebut pada akhir tahun ini, dengan memasukkan pasangan berpendapatan sehingga 180 peratus daripada purata pendapatan iaitu sekitar tujuh juta won (RM24,600) bagi isi rumah dua orang.
Kerajaan Wilayah Gyeonggi turut merancang untuk menawarkan satu juta won (RM3,500) bagi menampung kos persiapan perkahwinan.
Individu berusia antara 19 hingga 39 tahun yang mendaftar perkahwinan mereka pada 2025 dan menetap di wilayah Gyeonggi selama lebih setahun layak menerima bantuan berkenaan.
Kebiasaannya, majlis perkahwinan di Korea Selatan diadakan secara berasingan daripada pendaftaran rasmi.
Pendaftaran dalam talian untuk subsidi Gyeonggi akan dibuka pada Jun, manakala pengeluaran bantuan dijadualkan bermula Oktober ini.


























