Juliah bersama kepimpinan dan ahli Mutiara GRS memotong kek pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MUTIARA GRS Tahun 2025.
KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan
Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) meraikan 50 orang kanak-kanak sempena program
Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 pertubuhan itu di Putera Ballroom, Luyang, di sini, hari ini.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag yang juga Yang di-Pertua MUTIARA GRS menyampaikan “goodie bags” dan Angpow kepada kanak-kanak dari lima buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu.
Juliah berkata, program tahunan MUTIARA GRS itu bertujuan menyantuni kanak-kanak terpilih dari lima buah sekolah rendah dan menengah sekitar Kota Kinabalu.
Katanya, sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, St. Francis Convent,
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Shan Tao, Chung Hwa Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan (Cina) Anglo Chinese.

“Menerusi program sambutan ini kita berharap dapat mengeratkan hubungan
silaturahim dan perpaduan, selain membawa keceriaan dan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina kepada kanak-kanak ini.
“MUTIARA GRS telah merancang beberapa program yang akan dilaksanakan tahun ini
termasuk program menyantuni rakyat dan golongan wanita di kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) terpilih,” katanya.
Selain jamuan makan, kanak-kanak itu turut dihiburkan dengan persembahan Tarian Singa, permainan kanak-kanak dan persembahan magic.
Turut hadir ialah Naib Yang di-Pertua I Mutiara GRS, Datin Seri Cecilia Kitingan, Naib Yang di-Pertua III/Setiausaha Kehormat, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag. Mohd. Saufi, Pengerusi Pelaksana Sambutan Tahun Baharu Cina MUTIARA GRS, Datin Seri Stella Yong dan ahli-ahli pertubuhan itu.


























