Masiung Banah
KOTA KINABALU: Ketagihan rokok elektronik yang menggunakan perisa ‘Magic Mushroom’, sejenis cecair dadah sintetik yang mengkhayalkan, kini menjadi wabak baharu yang mencetuskan kebimbangan serius di negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, budaya baharu yang semakin menular dalam kalangan golongan muda itu memerlukan tindakan tegas daripada kerajaan sebelum ia menjadi ancaman besar kepada masyarakat.
Masiung menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bertindak tegas terhadap pengedaran cecair (flavour) dadah tersebut, termasuk mempertimbangkan pengharaman penjualan rokok elektronik di negara ini.
“Tanpa disedari, golongan belia dan remaja kini terperangkap dalam wabak baharu yang amat membimbangkan,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri tugas rasmi, semalam.
Menurutnya, modus operandi pengedaran cecair vape yang mengandungi dadah itu berselindung di sebalik perisa buah-buahan yang diperoleh daripada pembekal persendirian serta mudah didapati menerusi pasaran dalam talian.
“Antara cecair vape yang mengkhayalkan dan semakin popular dalam kalangan belia serta remaja hari ini ialah perisa ‘Magic Mushroom’, yang dijenamakan dengan pelbagai nama menarik bagi menarik perhatian pengguna,” jelasnya.
Selain itu, katanya, perisa ‘Creamy’ dan ‘Free Base’ juga didakwa mengandungi campuran nikotin dan dadah jenis ketamin.
Merujuk laporan Pusat Racun Negara (PRN), ketiga-tiga cecair beraroma buah-buahan tersebut mengandungi dadah jenis dimethyltryptamine (DMT) yang dicairkan untuk melariskan jualan flavour rokok elektronik.
Masiung turut melahirkan kebimbangan terhadap ketagihan vape yang semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, yang tertarik dengan teknologi peranti vape serta perisa buah-buahan yang digunakan.
Berdasarkan laporan KKM, bilangan remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang ketagih vape meningkat daripada 211,084 orang pada tahun 2017 kepada 301,109 individu pada tahun 2022.
“Jika KKM terus berdiam diri dalam isu ini, jumlah individu yang ketagih cecair nikotin berkenaan dijangka meningkat lebih banyak menjelang tahun 2030,” tegasnya.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu turut berpendapat bahawa Malaysia sepatutnya mencontohi negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Taiwan yang telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik.
Beberapa negara di rantau Asia, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Oman, Jordan, dan Lubnan, sebelum ini turut mengumumkan pengharaman vape bagi membendung ketagihan dalam kalangan rakyat mereka.
































