SANDAKAN: Penduduk rumah atas air di Kampung Sim-Sim disaran untuk memiliki sekurang-kurangnya satu unit pemadam api di setiap kediaman bagi menghadapi sebarang kecemasan kebakaran.
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Pengerusi CLC Tanjung Papat, Kapitan Thomas Lau berkata, pemadam api amat berguna dalam mengawal kebakaran kecil sebelum merebak dan mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan perkampungan atas air.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kebakaran, tetapi juga berpotensi menyelamatkan nyawa serta harta benda penduduk,” katanya selepas melawat kediaman keluarga wartawan Daily Express, yang juga Setiausaha Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA), di Jambatan 22, Kampung Sim-Sim, yang terlibat dalam kebakaran Sabtu lalu.
Kebakaran yang berlaku pada 4 Februari itu mengakibatkan sebuah bilik terbakar sebanyak 10 peratus. Bagaimanapun, penghuni rumah yang terdiri daripada ayah dan abang wartawan terbabit berjaya memadam kebakaran menggunakan pemadam api yang ada di rumah mereka, dengan bantuan jiran sebelum ketibaan pihak bomba.
Seramai 12 penghuni rumah, termasuk dua warga emas, tujuh dewasa dan tiga kanak-kanak dilaporkan selamat dalam insiden itu.
Bilik yang terbakar tersebut juga menempatkan sebuah kedai runcit yang diusahakan keluarga itu di bahagian hadapan rumah mereka.
Dalam pada itu, Thomas merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu, termasuk jiran serta pasukan bomba yang bertindak pantas dengan mengerahkan dua jentera dan 14 anggota ke lokasi kejadian.
Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya akan membantu keluarga terbabit dalam kos membaik pulih kawasan yang terjejas serta menyokong perniagaan runcit keluarga itu agar dapat beroperasi seperti biasa.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi PEMASSA, James Leong; Timbalan Pengerusi PEMASSA, Fauzi R. Lahap; serta Bendahari PEMASSA, Winnie Kasmir.
PEMASSA turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada keluarga yang terjejas.
Mewakili keluarganya, Mardinah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan menunjukkan keprihatinan terhadap nasib mereka.


























