Larangan menyeluruh rokok elektronik akan dibentangkan pada April dan dirancang berkuat kuasa menjelang pertengahan 2026.- Gambar Hiasan
HONG KONG: Hong Kong bakal mengharamkan pemilikan dan penggunaan rokok elektronik di tempat awam menjelang pertengahan 2026, selaras dengan agenda kerajaan untuk meneruskan anti tembakau.
Menurut Utusan Malaysia, penggunaan rokok elektronik masih berleluasa di Hong Kong walaupun hab kewangan China mengharamkan pengimportan, pembuatan dan penjualannya serta produk tembakau sejak April 2022.
Setiausaha Kesihatan Hong Kong, Lo Chung-mau berkata, larangan itu bertujuan untuk melindungi setiap individu di negara berkenaan, terutamanya generasi muda.
“Untuk melindungi golongan muda, kami percaya sudah tiba masanya untuk mengharamkan penggunaan kartrij rokok elektronik.
“Kami akan memulakan dengan menguatkuasa undang-undang terhadap pemilikan dan penggunaan di kawasan awam. Setelah orang ramai terbiasa dengan larangan ini, kami akan melaksanakannya di semua tempat,” katanya menerusi satu program televisyen.
Menurut Chung-mau, dasar itu pertama kali dicadangkan pada tahun lalu sebagai larangan menyeluruh terhadap rokok elektronik dan akan dibentangkan di badan perundangan pada April, dengan matlamat dikuatkuasakan menjelang pertengahan 2026.
“Larangan itu akan bermula di tempat awam kerana terdapat ‘banyak masalah penguatkuasaan’ di kawasan tertutup,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kira-kira 35 negara sudah mengharamkan penjualan rokok elektronik bermula tahun lalu.
Pihak berkuasa Hong Kong berharap dapat mengurangkan kadar kelaziman merokok kepada 7.8 peratus pada tahun ini, berbanding 9.1 peratus pada 2023.
Mengikut undang-undang 2022, sesiapa yang mengimport rokok elektronik di Hong Kong boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda HK$2 juta (RM1.97 juta).
Manakala, penjual dan pengeluar boleh dihukum penjara sehingga enam bulan.
Tambah Lo, ramai pengguna rokok elektronik di Hong Kong bergantung kepada import haram, dan kartrij atau pod yang kini digunakan sebagai alat untuk penyalahgunaan dadah rekreasi.
Pihak berkuasa bertindak tegas untuk membanteras peningkatan penggunaan etomidate iaitu sejenis anestetik yang digelar ‘space oil’ dan sering dihidu melalui vape.
Selain itu, kerajaan Hong Kong juga akan mencadangkan larangan terhadap rokok yang bukan berperisa mentol bermula April ini.


























