ORLANDO: Sebuah limousin gergasi yang dibina daripada enam buah Cadillac El Dorado 1976, kini kembali mempamerkan kehebatannya selepas melalui proses pemulihan menyeluruh.
Menurut Utusan Malaysia, limousin gergasi tersebut yang diberi nama ‘The American Dream’ mempunyai panjang mencecah 30.54 meter, yang mampu memuatkan sehingga 75 penumpang dewasa, menjadikannya kereta terpanjang di dunia yang diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness.
Kenderaan unik itu pertama kali dihasilkan pada tahun 1986 oleh pengumpul dan pengubah suai kereta terkenal, Jay Ohrberg.
Pada mulanya, panjang The American Dream hanyalah 18.28 meter dengan dua enjin V8 yang dipasang di bahagian hadapan dan belakang namun, Ohrberg kemudian memanjangkan kenderaan tersebut kepada 30.5 meter, sekali gus menarik perhatian ramai apabila dipaparkan di muka depan majalah, rancangan televisyen, malah turut tampil dalam beberapa filem.
Namun, populariti The American Dream tidak bertahan lama apabila ianya terbiar di sebuah gudang di New Jersey selama beberapa dekad sebelum dua penggemar automotif, Michael Dezer dan Michael Manning, membelinya selepas menemukan iklan kenderaan itu secara dalam talian.
“Saya pertama kali melihat kereta ini di sebuah pameran di New Jersey. Keadaannya sangat teruk dipenuhi grafiti, cermin pecah, tayar pancit tetapi saya terus jatuh hati. Saya berkata, ‘Saya akan dapatkan kereta ini dan saya akan pulihkannya semula,’” kata Michael Manning kepada Guinness World Records.
Dezer dan Manning melaburkan masa bertahun-tahun serta sejumlah besar wang untuk mengembalikan The American Dream kepada keadaan asalnya dan kini, ia tampil dengan 26 tayar baharu, cat putih berkilauan, dan beberapa inci tambahan pada panjang asalnya.
Lebih menarik, limousin ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah seperti katil air bersaiz besar, kolam renang lengkap dengan papan terjun, jakuzi, tab mandi, padang golf mini, dan sebuah helipad berfungsi untuk mendaratkan helikopter kecil.
Walaupun The American Dream masih boleh dipandu, saiznya yang luar biasa menghadkan pergerakannya kepada jalan yang lurus sahaja kerana proses membelok kereta sepanjang 30 meter ini hampir mustahil di kebanyakan jalan, menjadikan ia lebih sesuai sebagai kenderaan pameran.
Bagi yang ingin melihat sendiri keunikan The American Dream, kenderaan ini kini dipamerkan di Muzium Auto Dezerland Park Orlando, Florida, sebagai simbol kemewahan dan inovasi dalam dunia automotif.






























