BANGKOK: Yayasan Pengawas Thailand (WDT) memfailkan saman terhadap seorang lelaki yang didakwa secara kejam melemparkan seekor anak anjing jalanan ke dalam laut dan berikrar untuk menuntut keadilan walaupun individu terbabit memohon maaf.
Menurut Utusan Malaysia, klip video yang tular semalam menunjukkan seorang lelaki Thailand mengangkat seekor anak anjing dan mencampaknya ke dalam laut, walaupun dia mendakwa perbuatannya untuk membersihkan haiwan tersebut.
Anak anjing itu bergelut untuk berenang kembali ke pantai, namun lelaki itu terus mencampaknya semula ke dalam air berulang kali.
WDT memuat naik mesej di Facebook menegaskan mahu memburu lelaki tersebut dan menuduhnya melakukan penderaan terhadap haiwan.
“Jangan lakukan perkara itu. Anak anjing tersebut ketakutan dan terkejut kerana anda mencampaknya berulang kali,” kata yayasan itu.
Pemilik klip video berkenaan memohon maaf dalam satu hantaran di Facebook sebagai tindak balas kepada tuntutan yayasan itu.
Namun, individu terbabit masih mempertahankan perbuatannya, konon anak anjing itu dipenuhi kutu dan memohon netizen memaafkannya.
Pengasas WDT, Saban-nga Nontara memberitahu Nation TV, yayasan itu sedang bekerjasama dengan polis untuk mengesan lelaki terbabit di Pulau Samui, wilayah Surat Thani, tempat kejadian berlaku.
Beliau menegaskan, pihak yayasan sudah menghantar wakil untuk memfailkan saman terhadap lelaki itu serta mengesahkan komitmen untuk memperjuangkan kes sehingga ke penghujung.
































