Orang ramai berhimpun sebagai protes terhadap Presiden AS, Donald Trump semasa tunjuk perasaan di Texas State Capitol di Austin, Texas, pada 5 Februari lepas.
WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan mengeluarkan perintah untuk menyekat Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di bawah Elon Musk daripada mengakses rekod Jabatan Perbendaharaan yang mengandungi maklumat peribadi sensitif, termasuk nombor Keselamatan Sosial dan akaun bank berjuta-juta rakyat Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Daerah AS, Paul Engelmayer mengeluarkan perintah itu pada Sabtu, selepas 19 peguam negara Demokrat menyaman Presiden Donald Trump, kelmarin.
Kes difailkan di mahkamah persekutuan di New York City itu mendakwa, pentadbiran Trump membenarkan pasukan Musk mengakses sistem pembayaran pusat Jabatan Perbendaharaan secara tidak sah, yang melanggar undang-undang persekutuan.
Sistem pembayaran itu menguruskan bayaran balik cukai, faedah Keselamatan Sosial, faedah veteran dan banyak lagi, mengendalikan trilion dolar setiap tahun serta mengandungi rangkaian luas data peribadi dan kewangan rakyat Amerika.
Peguam Negara New York, Letitia James, yang memfailkan saman itu, berkata akses DOGE kepada data Jabatan Perbendaharaan menimbulkan masalah keselamatan dan kemungkinan pembekuan haram dalam dana persekutuan.
“Kumpulan yang tidak dipilih ini, diketuai oleh orang terkaya di dunia, tidak diberi kuasa untuk memiliki maklumat itu dan mereka secara jelas meminta akses tanpa kebenaran untuk menyekat secara haram pembayaran yang diharapkan oleh berjuta-juta rakyat Amerika,” kata James dalam mesej video dikeluarkan oleh pejabatnya, kelmarin.
Turut terlibat dalam tuntutan mahkamah itu adalah Arizona, California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Maine, Maryland, Massachusetts, Minnesota, Nevada, New Jersey, North Carolina, Oregon, Rhode Island, Vermont dan Wisconsin.
Saman itu mendakwa, akses DOGE kepada rekod Jabatan Perbendaharaan boleh mengganggu pembiayaan yang diperuntukkan oleh Kongres, yang akan melebihi kuasa berkanun jabatan tersebut.
Kes itu juga berhujah bahawa akses DOGE melanggar undang-undang pentadbiran persekutuan dan doktrin pengasingan kuasa Perlembagaan AS.
DOGE, diwujudkan untuk mengenal pasti dan menghapuskan perbelanjaan kerajaan yang dianggap membazir oleh pentadbiran Trump.
Akses DOGE kepada rekod Perbendaharaan serta pemeriksaannya terhadap pelbagai agensi kerajaan mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan pengkritik mengenai pengaruh Musk, sementara penyokong pula menyambut baik usaha mengawal perbelanjaan kerajaan yang berlebihan.


































