BEIJING: Lebih 30 dilaporkan hilang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh dalam kejadian di wilayah Sichuan, barat daya China, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, penyiar China Central Television (CCTV) melaporkan, kejadian itu berlaku sekitar 11.50 pagi (waktu tempatan) di perkampungan Jinping di bandar Yibin.
“Sepuluh rumah tertimbus tanah runtuh dan lebih daripada 30 orang hilang.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan tersebut kerana tanah runtuh masih berterusan,” lapornya.
Presiden China, Xi Jinping mengarahkan pihak berkuasa untuk berusaha sebaik mungkin bagi mencari dan menyelamatkan mangsa hilang, mengurangkan jumlah korban serta menguruskan keadaan selepas bencana itu.
Kementerian Pengurusan Kecemasan China dalam satu kenyataan berkata, dua orang berjaya diselamatkan.
“Pasukan tindak balas kecemasan kini berada di lokasi untuk mencari mangsa yang terselamat,” kata kenyataan itu.






























