Kementerian Kesihatan menetapkan 30 slot pemeriksaan kesihatan percuma setiap hari yang memanfaatkan 280 juta rakyat Indonesia.
JAKARTA: Kementerian Kesihatan mengumumkan program Pemeriksaan Kesihatan Percuma menyasarkan 280 juta rakyat Indonesia akan bermula pada Isnin ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan dan Komuniti, Maria Endang Sumiwi berkata, program itu bertujuan mencegah dan menangani penyakit yang menjadi punca kematian tertinggi dalam setiap peringkat kehidupan.
“Setiap peringkat umur mempunyai penyebab kematian yang berbeza, dari bayi, kanak-kanak, remaja hingga warga emas.
“Kami memetakan dan bertindak balas untuk mengurangkan punca kematian itu,” katanya kepada pemberita.
Maria berkata, pemeriksaan itu akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pemeriksaan kesihatan hari lahir yang akan dijalankan pada hari lahir atau dalam tempoh 30 hari selepasnya.
Seterusnya, pemeriksaan kesihatan akan dijalankan di sekolah untuk mereka yang berumur 7 hingga 17 tahun dan pemeriksaan kesihatan khas bagi golongan wanita hamil serta kanak-kanak.
Untuk peringkat awal, kementerian menetapkan 30 slot pemeriksaan kesihatan percuma setiap hari di pusat kesihatan masyarakat.
Jumlah itu mungkin meningkat bergantung kepada keputusan penilaian dan kesediaan kemudahan kesihatan.
Beliau berkata, wanita hamil, orang kurang upaya dan warga emas akan diberi keutamaan untuk perkhidmatan tersebut.
Katanya, setiap kumpulan umur akan mempunyai pakej pemeriksaan berbeza, seperti ujian talasemia untuk kanak-kanak bawah enam tahun dan geriatrik bagi warga emas.
































