Masiung (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Hiew.
SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menggesa pemimpin di peringkat daerah agar menyebarluaskan usaha Kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.
Beliau berkata, buat pertama kali dalam sejarah Belanjawan Kerajaan Negeri 2025, pelbagai insentif baharu diperkenalkan bagi membantu rakyat mengimbangi peningkatan kos sara hidup.
Menurut Masiung, antara dana yang diperkenalkan termasuklah bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), bantuan kepada penjaja kecil, serta sokongan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga universiti.
“Pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Negeri menawarkan bantuan percuma Rumah Mesra SMJ kepada golongan B40 serta dana RM5,000 kepada penjaja kecil.
“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 40 unit RumahMesra SMJ untuk rakyat yang berkelayakan. Manakala pelajar sekolah rendah hingga universiti akan menerima bantuan antara RM300 hingga RM2,500 seorang,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan tiket penerbangan sebanyak RM600 secara ‘one-off’ kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, serta bantuan tambang RM300 kepada pelajar yang belajar di luar daerah dalam negeri.
Masiung menyeru pemimpin daerah, khususnya sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis, agar memainkan peranan dalam menyebarluaskan maklumat mengenai bantuan ini supaya rakyat dapat memanfaatkannya.
Beliau juga menekankan bahawa ahli jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di setiap kawasan DUN perlu meneliti pelbagai bantuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan penyebaran maklumat yang menyeluruh kepada rakyat.


































