Donald Trump bersama sebahagian daripada tetamu wanita yang hadir pada majlis menandatangani perintah eksekutif ‘Tiada lelaki dalam sukan wanita’ di Rumah Putih, Washington DC.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini menandatangani perintah eksekutif yang mengharamkan atlet transgender bertanding dalam acara sukan melibatkan wanita antara langkah terbaharu beliau terhadap golongan terbabit.
“Dengan kuasa perintah ini, perang ke atas kaum wanita tamat,” kata Trump sebelum menurunkan tanda tangannya di Rumah Putih yang turut disaksikan para atlet dan kanak-kanal.
Turut menyaksikan majlis menandatangani perintah khas itu ialah Speaker Rumah Putih, Mike Johnson dan anggota kongres wanita, Marjorie Green.
“Kami akan mempertahankan tradisi kemasyhuran atlet wanita dan kami tidak akan membenarkan kaum lelaki untuk mengalahkan mereka, mencederakan dan menipu wanita (dalam sukan). Bermula dari sekarang sukan wanita hanya untuk wanita sahaja,” tegas Trump.
Perintah khas itu akan memberi kuasa kepada agensi penguatkuasa kerajaan menghalang apa sahaja bentuk sumbangan di sekolah yang membenarkan atlet transgender bersaing dengan kaum wanita dalam sukan.
“Ini adalah polisi Amerika Syarikat untuk membatalkan semua bentuk sumbangan yang boleh menafikan hak wanita dalam sukan. Mereka berhak mendapat privasi,” menurut dokumen tersebut.
Trump juga berkata, beliau akan mendesak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menukar peraturan badan induk sukan dunia itu berhubung penyertaan atlet transgender sebelum Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.
Katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk menjelaskan perkara itu kepada IOC dengan penekanan mengubah segalanya tentang transgender berkaitan Sukan Olimpik.
Trump juga mengarahkan Ketua Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem untuk membatalkan permohonan visa mana-mana lelaki yang mahu memasuki AS dengan menggunakan identiti sebagai atlet wanita untuk bertanding ke temasya tersebut.

































