Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Sukan akuatik (terjun), berbasikal trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy, dan tenpin boling bakal menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kontinjen negara dalam Sukan SEA Thailand 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, walaubagaimanapun sasaran pingat yang diletakkan adalah berdasarkan jumlah keseluruhan kutipan pingat, tanpa mengambil kira warna pingat yang dimenangi.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira saranan pakar dari Nippon Sports Science University (NSSU), yang memberikan pandangan mengenai strategi terbaik dalam mencapai prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) yang memintanya menyatakan sasaran Malaysia bagi temasya Sukan SEA 2025.
Hannah berkata, langkah mengeluarkan sasaran pingat berdasarkan warna diambil bagi mengurangkan tekanan kepada atlet dan membantu mereka fokus kepada usaha mengumpul seberapa banyak kejayaan untuk negara.
“Kami percaya bahawa pendekatan ini akan membolehkan atlet-atlet kita bertanding dengan lebih bebas dan bersemangat, serta mengekalkan momentum kecemerlangan dalam pelbagai acara sukan,” katanya.
Selain itu, katanya, atlet turut dilatih untuk tidak menggunakan media sosial, membaca komen-komen peminat sebelum permainan bermula kerana ia boleh menjejaskan moral dalam pertandingan.
“Kita ada pakar psikologi untuk bantu mereka mengurus tekanan dan memastikan mereka kekal fokus dalam pertandingan.
“Mereka diberikan latihan mental yang intensif agar tidak mudah terpengaruh dengan gangguan luar,” tambahnya.































