PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan sebanyak lima produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, Betamethasone 17-Valerate, Hydroquinone dan Tretinoin.
Menurut Utusan Malaysia, lima produk itu ialah Molly Care Night Cream, Pinkkiss Beauty Care Herbal Cream, Pinkkiss Beauty Care Treatment Cream, Karisma Brightening Day Cream dan Ufora Advance Repair Solution.
KKM dalam kenyataan berkata, Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.
Katanya lagi, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Tambah KKM, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.


































