Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara tidak menerima sebarang cadangan untuk meminda Perkara 45 Fasal 1(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Sabah serta Sarawak menambah wakilnya di Dewan Negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan sebarang cadangan pindaan Perkara 45(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutua dalam usaha untuk menambah bilangan ahli mewakili Sabah dan Sarawak di Dewan Negara.
Namun, kata beliau, sebelum sebarang langkah diambil, kerajaan perlu melaksanakan proses penyelidikan dan perbincangan mendalam dengan kementerian dan agensi berkaitan, proses tersebut termasuk kajian perundangan, sesi libat urus serta analisis terhadap impak dan keperluan negara.
Jelasnya, selepas itu baru cadangan yang diperhalusi akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut dan kemudiannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
“AGC tidak menerima apa-apa cadangan untuk meminda Perkara 45(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan bagi memperuntukkan jumlah tambahan bagi ahli yang dipilih dan dilantik untuk mewakili Sabah dan Sarawak di Dewan Negara.
“Perkara ini juga tidak dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang memintanya menyatakan adakah kerajaan menerusi penelitian AGC telah memperhalusi cadangan untuk meminda Perkara 45 (1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, cadangan tersebut sudah dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).
Jelasnya, ia dianggotai oleh wakil kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Peguam Negara, kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Dalam mesyuarat pada 10 Ogos 2023 dan 30 Oktober 2023, Jawatankuasa Kerja telah mencapai persetujuan, antara lain, bahawa suatu ketetapan dasar hendaklah dibuat oleh kerajaan Persekutuan berhubung dengan cadangan tersebut dan disusuli dengan pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang kemudiannya disusuli oleh proses persempadanan semula oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Memorandum Jemaah Menteri akan disediakan oleh pihak BHEUU, JPM untuk pertimbangan Jemaah Menteri selepas dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan MTPMA63,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 pada 12 September lalu memutuskan untuk AGC mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi meneliti semula tafsiran serta legitimasi ‘safeguard’ ini dari sudut perundangan.
“AGC sedang mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara ini,” katanya.


































