Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza yang terjejas akibat konflik.
Namun, keutamaan harus diberikan terlebih dahulu kepada keperluan mendesak rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak, yang masih jauh ketinggalan dalam pembangunan asas.
Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun menegaskan bahawa perhatian yang lebih serius perlu diberikan kepada isu-isu domestik yang masih membelenggu rakyat, termasuk keadaan jalan raya yang daif, sekolah dan hospital kerajaan di luar bandar yang serba kekurangan, serta tempat-tempat ibadat yang memerlukan penambahbaikan.
“Usaha membantu negara lain adalah sesuatu yang terpuji, tetapi kita juga harus melihat realiti di tanah air sendiri. Sabah masih merupakan antara wilayah termiskin di Malaysia. Oleh itu, sepatutnya kita dahulukan pembangunan di negeri ini agar setanding dengan Semenanjung sebelum mengalihkan fokus ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai langkah awal membantu pembinaan semula Gaza, melalui kerjasama antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Sehubungan itu, Steve turut bersetuju dengan cadangan seorang mantan Menteri Persekutuan agar kerajaan menubuhkan Dana Kemanusiaan Khas sekiranya konflik di Gaza diselesaikan dengan jelas dan semua pihak menerima syarat yang dipersetujui. Langkah ini akan memastikan bantuan antarabangsa dilakukan secara terancang tanpa mengabaikan keperluan rakyat Malaysia.
“Majlis Belia KDCA berharap Kerajaan dapat menilai semula keutamaan dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat, khususnya bagi negeri-negeri yang masih berhadapan dengan cabaran ekonomi dan infrastruktur,” katanya.


































