Anggota bomba berusah mencari pemandu trak yang terjatuh dalam lubang benam di persimpangan jalan di bandar Yashio, wilayah Saitama.
TOKYO: Operasi mencari dan menyelamat seorang pemandu lori yang terperangkap dalam lubang benam di Jepun semakin sukar, selepas keluasan runtuhan hampir sama seperti kolam renang Olimpik.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai memberitahu, kawasan runtuhan berkembang sehingga 40 meter lebar, hampir sepanjang kolam renang Olimpik, sejak kejadian berlaku di bandar utara Tokyo pada Selasa lalu.
Pihak berkuasa di Yashio percaya lubang benam yang semakin besar itu berkemungkinan disebabkan daripada hakisan paip pembentungan.
“Keadaan ini amat berbahaya. Kami merancang untuk membina cerun (bagi mengakses lubang) dari lokasi yang lebih selamat supaya dapat menghantar peralatan berat,” kata Ketua Bomba Yashio, Tetsuji Sato.
Beliau berkata, kebocoran air bawah tanah ke dalam lubang tersebut menyebabkan ia terus runtuh.
Tiada komunikasi dengan pemandu berusia 74 tahun itu sejak Selasa lalu, di mana timbunan tanah dan serpihan jalan kini menutup kabin lorinya.
“Paip yang pecah mungkin membolehkan tanah di sekelilingnya mengalir masuk, menyebabkan ruang di bawah tanah menjadi lompong,” kata pegawai wilayah Saitama, Daisuke Tsutsui, kelmarin.
Pihak berkuasa berharap dapat menyiapkan cerun sepanjang 30 meter pada Jumaat, tetapi seorang pegawai tempatan berkata proses itu mungkin mengambil masa beberapa hari.
Operasi menyelamat semakin sukar kerana dinding dalam lubang, kini sedalam 10 meter, terus terhakis, menyebabkan anggota penyelamat tidak dapat berada di dalamnya untuk tempoh yang lama.
Pada awalnya, lubang itu berdiameter sekitar lima meter, namun bersambung dengan runtuhan baharu yang terbentuk semasa operasi menyelamat.
Keadaan itu menyebabkan penempatan jentera berat di kawasan berhampiran semakin berbahaya.
Seramai 1.2 juta penduduk di kawasan itu diminta mengurangkan penggunaan air untuk mandi dan membasuh pakaian bagi mengelakkan kebocoran pembentungan yang boleh menyukarkan lagi operasi menyelamat.
 


























