Lebih empat juta pekerja di Malaysia menikmati kenaikan sehingga RM1,700 sebulan selepas Perintah Gaji Minimum yang berkuatkuasa di seluruh negara bermula hari ini.- Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Lebih empat juta pekerja di Malaysia menikmati kenaikan sehingga RM1,700 sebulan selepas Perintah Gaji Minimum yang berkuatkuasa di seluruh negara bermula hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, perintah tersebut bermakna majikan menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan itu perlu membayar sebanyak RM1,700 untuk seorang pekerja.
Ini bermakna, semua pekerja berkenaan yang dibayar gaji minimum RM1,500 sejak 1 Mei 2023 menerima kenaikan sebanyak RM200.
Kementerian Sumber Manusia berkata, majikan menggajikan kurang dari lima orang bekerja perlu membayar RM1,700 kepada setiap pekerja bermula 1 Ogos ini.
Katanya, ia bagi memastikan majikan diberi tempoh yang mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
“Langkah ini bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan serta inklusif.
“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘menaikkan lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kementerian berkata, semua majikan diwajibkan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum dan memastikan pekerja menerima gaji pokok tidak kurang dari RM1,700 sebulan.
Jelasnya, kegagalan majikan untuk mematuhi perintah tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Dalam pada itu, Kementerian berkata, gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pemantauan secara berterusan wajar dilakukan dalam memastikan pematuhan gaji minimum dinikmati oleh semua pekerja.
“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, ramai pekerja berisiko tidak menikmati gaji minimum baharu ini, sekali gus melemahkan dasar tersebut.
“Oleh itu, Jabatan Tenaga Kerja perlu mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi perintah,” katanya.






























